top of page

BRICS-Brazil 2025; Diplomasi Baja dan Bijirin Rusia Serta Impak Kepada Selatan Global

  • Writer: Researcher
    Researcher
  • May 8
  • 5 min read

Updated: May 9


BRICS; merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan merupakan gabungan kerjasama ekonomi yang sedang pesat membangun dan mula ditubuhkan pada tahun 2009. BRICS merupakan blok politik dan ekonomi yang turut melibatkan negara-negara di Selatan Global.


Bermula 1 Januari 2025, Brazil secara rasminya telah mula mempengerusikan (presidency) blok ekonomi BRICS untuk tempoh selama satu tahun, iaitu selepas ia dipengerusikan oleh Rusia bagi penggal tahun 2024 yang lalu. Tempoh Kepengerusian BRICS-Brazil 2025 akan menumpukan kepada dua keutamaan; Kerjasama Selatan Global (1) dan Perkongsian BRICS untuk Pembangunan Sosial, Ekonomi dan Alam Sekitar (2). Secara kolektif, BRICS merupakan sebuah blok ekonomi yang menyumbang satu per lima kepada pertumbuhan perdagangan di peringkat global.


Pada Oktober 2024, Malaysia telah diiktiraf sebagai satu daripada 12 negara-negara rakan lain yang turut menyertai BRICS, antara lainnya ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam. Penerimaan Malaysia sebagai Negara Rakan (Partner Country) dalam blok ini boleh dilihat sebagai satu pengiktirafan yang baik kepada Malaysia, di samping menjadi indikator terhadap kemampuan Malaysia untuk berkembang maju seperti negara-negara rakan yang lain.


Pada 28 dan 29 April 2025, Menteri Luar Negeri iaitu Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro di Republik Persekutuan Brazil bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS. Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat peringkat Menteri yang pertama bersama Negara-Negara Rakan BRICS yang lain sejak pengiktirafan serta pertambahan keanggotaan baharu secara rasmi pada 1 Januari 2025 yang lalu.


Secara dasarnya, mesyuarat berkenaan banyak membincangkan mengenai peranan Selatan Global dalam memperkukuh multilateralisme, meliputi beberapa bidang utama yang semakin mendesak di peringkat antarabangsa antaranya perubahan iklim, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (artificial intelligence - AI), cabaran geopolitik semasa serta reformasi terhadap institusi antarabangsa.


Walau bagaimanapun, rencana ini hanya akan menyentuh mengenai kenyataan daripada Rusia berhubung krisisnya dengan Ukraine. Rusia telah menyatakan kekangan terhadap isu keterjaminan makanan (food security) yang semakin membimbangkan. Dalam hal ini, Rusia memaklumkan bahawa negara berkenaan tidak lagi dapat membekalkan baja dan bijirin kepada Negara-Negara Selatan Global (meliputi negara-negara di benua Asia, Afrika, Amerika Latin, Oceania dan Timur Tengah) berikutan sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas Rusia susulan konflik berterusan dengan Ukraine.


Isu yang dibangkitkan oleh Rusia dalam Mesyuarat BRICS pada April 2025 - iaitu mengenai ketidakmampuannya membekalkan baja dan bijirin kepada Negara-Negara Selatan Global akibat sekatan perdagangan adalah turut dijangka akan memberikan beberapa implikasi yang signifikan, termasuklah kesannya terhadap Malaysia.​​



Kesan Terhadap Rantaian Bekalan Global


Seperti kebanyakan Negara-Negara Selatan Global yang lain, Malaysia juga masih bergantung kepada import baja dan bahan makanan asas tertentu, antaranya bijirin seperti gandum dan jagung. Krisis antara Rusia dan Ukraine telah menunjukkan kerentanan rantaian bekalan global khususnya dalam sektor pertanian dan pengeluaran sumber makanan.


Gangguan terhadap bekalan baja dan bijirin akibat sekatan perdagangan ke atas Rusia telah memberi kesan langsung kepada Negara-Negara Selatan Global, termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali daripada kesan konflik ini. Ancaman ini menimbulkan kebimbangan mengenai keperluan pertanian dan jaminan bekalan makanan yang mencukupi, khususnya apabila sumber penting seperti baja terputus akibat konflik geopolitik yang berada di luar kawalan kita.


Malahan, pada tahun 2022, laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengenal pasti terdapat sekitar 36 buah negara yang bergantung kepada Rusia dan Ukraine sebanyak lebih daripada 50% keperluan import gandum mereka, dan ini termasuklah beberapa negara dengan ekonomi paling terdedah di dunia iaitu Syria dan Somalia.



Rusia dan Pendekatan ‘Diplomasi Makanan’


Pada bulan Julai 2023, Moscow telah menarik diri daripada Inisiatif Bijirin Laut Hitam, yang sebelumnya telah diiktiraf secara meluas kerana ia telah membantu meredakan lonjakan harga global bagi komoditi makanan utama seperti gandum dan minyak sayuran. Namun begitu, Presiden Russia iaitu Vladimir Putin menegaskan meskipun eksport gandum dan baja dari Rusia dihalang secara sengaja (deliberately obstructed) oleh Ukraine, beliau meyakini bahawa negaranya masih mempunyai keupayaan untuk menggantikan peranan Ukraine dalam pembekalan bijirin secara global, sama ada melalui perdagangan komersial mahupun secara ‘free aid’ (bantuan percuma) kepada negara-negara yang memerlukan.


Pendekatan ini dapat dilihat sebagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada negara-negara yang mengalami krisis kekurangan bekalan makanan, selain menjadi percubaan bagi Rusia untuk mengukuhkan pengaruh geopolitiknya melalui penawaran dan penyaluran bantuan makanan terutamanya kepada negara-negara membangun seperti Negara-Negara Selatan Global. Perkara ini merupakan satu bentuk ‘diplomasi makanan’ - iaitu menggunakan sumber bekalan makanan sebagai alat pengaruh antarabangsa.



Keselamatan Makanan dan Sekuriti Pertanian di Malaysia: Cabaran dan Pendekatan Strategik


Kekurangan bekalan baja dan bijirin akibat konflik geopolitik seperti krisis Rusia-Ukraine telah menimbulkan cabaran besar kepada keselamatan makanan global. Malaysia yang turut bergantung kepada import untuk keperluan pertanian juga tidak terkecuali daripada kesan ini. Gangguan bekalan ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, menjejaskan keupayaan petani tempatan untuk meningkatkan hasil, dan seterusnya menyumbang kepada inflasi makanan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat. 


Bagi menangani cabaran ini, Malaysia telah melaksanakan beberapa dasar dan inisiatif, antaranya Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Dasar ini digubal untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan, berteknologi tinggi serta memfokuskan kepada pemodenan pertanian melalui teknologi, pengukuhan rantaian nilai makanan, dan peningkatan sekuriti makanan negara.


Namun begitu, Malaysia masih berhadapan dengan beberapa keterbatasan tertentu dalam kegiatan pertanian yang antaranya disebabkan oleh teknik atau teknologi tradisional semasa yang digunapakai. Justeru itu, pelaburan dalam teknologi pertanian mampu menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti pertanian pintar dan automasi untuk meningkatkan kecekapan dan hasil pertanian supaya lebih optimum.


Selain daripada itu, Malaysia juga turut memperkenalkan penggunaan baja bio dan organik sebagai alternatif kepada baja kimia. Syarikat tempatan seperti BioJadi Malaysia dan INO Nature Sdn. Bhd. telah membangunkan baja bio-organik yang bersifat mesra alam dan berkesan dalam meningkatkan hasil tanaman. 


Dalam usaha menangani isu keselamatan makanan, Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) turut berperanan penting sebagai badan penasihat tertinggi yang membantu untuk bertindak memperkukuhkan usaha semua agensi yang terlibat bagi meningkatkan keberkesanan dan penyelarasan dalam memastikan keterjaminan makanan negara. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negara membangun, Malaysia masih memerlukan beberapa langkah di hadapan untuk terus berdaya tahan. Justeru, adalah wajar untuk Malaysia dapat meningkatkan lagi kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berhubung penghasilan baja menggunakan sumber tempatan supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada import.



Isyarat Kepada Negara-Negara Selatan Global


Kenyataan Rusia berhubung ketidakmampuan negara berkenaan untuk terus membekalkan baja dan bijirin seharusnya dilihat sebagai satu mesej halus bahawa Negara-Negara Selatan Global sering menjadi mangsa tidak langsung bagi konflik yang melanda kuasa-kuasa besar. Sekatan terhadap Rusia mungkin ditentukan oleh negara-negara maju, namun realitinya, sebahagian besar kesan daripada konflik dunia turut menimpa negara membangun khususnya negara-negara yang banyak bergantung kepada perdagangan global.


Dalam hal ini, Malaysia sebagai negara yang berperanan aktif di peringkat ASEAN dan Selatan Global wajar memainkan peranan yang lebih tangkas bagi menyeru kepada reformasi sistem perdagangan antarabangsa yang lebih adil, inklusif dan tidak terlalu berat sebelah terhadap negara-negara yang sedang membangun. Gabungan ini dapat memimpin kepada cadangan mewujudkan kerjasama agro-industri serantau dalam kalangan negara-negara ASEAN dan Negara-Negara Selatan Global yang lain.



Kesimpulan


Secara keseluruhan, kita wajar melihat kenyataan Rusia ketika mesyuarat BRICS 2025 ini sebagai satu peringatan penting, antaranya dengan memahami bagaimana sekatan geopolitik dan ketidaktentuan global mampu memberikan kesan mendalam kepada negara-negara membangun, termasuklah Malaysia. Sebagai pengeksport gandum terbesar dunia dan menguasai hampir 25% daripada perdagangan bijirin global secara keseluruhan, Rusia mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap pasaran gandum dunia serta berupaya mempengaruhi dinamik perdagangan pertanian di peringkat global.


Justeru, kenyataan bersifat ‘alert signal’ ini harus dilihat sebagai satu isyarat kritikal untuk kita segera menilai semula dasar pertanian dan perdagangan, tahap sekuriti makanan negara dan kerjasama serantau secara lebih serius, agar struktur keselamatan makanan dapat terus berdaya tahan di tengah-tengah pergelutan geopolitik dunia serta perubahan iklim yang semakin ketara.



Rujukan:














LUBNA RESEARCH CENTER

(003594486-M)

FIND US ON:

  • Instagram
  • X
  • Facebook
  • LinkedIn
  • Threads
  • WhatsApp

CONTACT US:

Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia

+6019 9050 391

Subscribe to Our Newsletter

Thank you for subscribing!

© 2025. ALL RIGHTS RESERVED. LUBNA RESEARCH CENTER | MALAYSIA

bottom of page