top of page

Analisis PRN Sabah 2025: Prestasi PH Serta Dinamika GRS dan Warisan

Author: Alif Fahmi Zahari

(Untuk memuat turun kertas penuh, versi PDF terdapat di bahagian bawah artikel ini)




Ringkasan Eksekutif


Analisis ini meneliti keputusan PRN Sabah 2025 dengan memberi tumpuan kepada prestasi Pakatan Harapan (PH) serta dominasi dua blok utama negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan. Keputusan pilihan raya menunjukkan politik Sabah semakin bersifat Sabah-sentrik, iaitu kebanyakan pengundi di Sabah dilihat lebih cenderung memilih parti tempatan yang menonjolkan isu autonomi negeri, pembangunan setempat dan hak Sabah di bawah MA63 berbanding naratif politik nasional.


Walaupun PH mencatatkan penurunan undi popular berbanding tahun 2020, data menunjukkan parti itu tidak ditolak sepenuhnya. Sebaliknya, kemerosotan PH didorong oleh penurunan kadar keluar mengundi di kawasan bandar, penyusutan sokongan urban secara beransur-ansur serta peralihan undi terhad kepada parti lain melalui faktor prestasi calon dan jaringan tempatan.


Naratif PH sebagai “parti Malaya”, kelemahan akar umbi serta fokus manifesto yang lebih bersifat nasional turut mengehadkan keupayaan mobilisasi di Sabah.


Manakala, GRS dan Warisan pula berjaya memanfaatkan sentimen regionalisme dan proteksionisme politik tempatan dengan menumpukan isu seperti peruntukan 40 peratus, pembangunan luar bandar, kos sara hidup dan autonomi negeri.


Pengundi Sabah secara jelas memperlihatkan kecenderungan mengundi adalah berdasarkan kepentingan negeri dan kestabilan tempatan, bukan semata-mata garis ideologi nasional. Dalam konteks ini, GRS dilihat mewakili kestabilan pentadbiran, manakala Warisan membawa naratif autonomi dan pembelaan hak Sabah.


Analisis ini juga menilai kemungkinan perubahan sistem pilihan raya kepada Proportional Representation yang berpotensi mengubah keseimbangan kuasa parti di Sabah. Sistem semasa First Past the Post (FPTP) memberi kelebihan kepada parti dengan sokongan geografi tertumpu seperti GRS dan Warisan, manakala sistem perwakilan berkadar boleh memberikan ruang yang lebih besar kepada parti seperti PH yang mempunyai undi popular signifikan tetapi bersebaran di sekitar kawasan bandar.


Secara keseluruhan, PRN Sabah 2025 mengesahkan bahawa landskap politik negeri Sabah semakin dipacu oleh identiti tempatan, autonomi dan isu pembangunan setempat.


Justeru, bagi mana-mana parti nasional yang ingin kekal relevan di Sabah; strategi berlandaskan 'state-based', kepimpinan negeri yang kukuh serta agenda yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat Sabah sahaja yang dilihat berupaya menjadi faktor penentu dalam persaingan politik Sabah di masa hadapan.


Penulis: Alif Fahmi Zahari (Ketua Penyelidik, LUBNA)




(Versi penuh PDF boleh didapati di sini):



Politics

LUBNA RESEARCH CENTER

(003594486-M)

FIND US ON:

  • Instagram
  • X
  • Facebook
  • LinkedIn
  • Threads
  • WhatsApp

CONTACT US:

Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia

+6019 9050 391

Subscribe to Our Newsletter

Thank you for subscribing!

© 2026. ALL RIGHTS RESERVED. LUBNA RESEARCH CENTER | MALAYSIA

bottom of page