BRICS-Brazil 2025; Diplomasi Baja dan Bijirin Rusia Serta Impak Kepada Selatan Global
Author: LUBNA Researcher
(Untuk memuat turun kertas penuh, versi PDF terdapat di bahagian bawah rencana ini)

Ringkasan Eksekutif
Rencana ini membincangkan secara ringkas mengenai perkembangan BRICS di bawah Kepengerusian Brazil bagi tahun 2025 serta menyoroti implikasi geopolitik dan ekonomi yang timbul daripada kenyataan Rusia berhubung sekatan perdagangan yang dilihat berupaya menjejaskan bekalan baja dan bijirin kepada negara-negara Selatan Global.
Sebagai blok kerjasama ekonomi yang merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, BRICS semakin memainkan peranan penting dalam membentuk wacana multilateralisme, pembangunan ekonomi dan kerjasama Selatan-Selatan. Bermula 1 Januari 2025, Brazil telah mengambil alih kepengerusian BRICS dan memberikan penekanan terhadap pengukuhan kerjasama Selatan Global serta pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang lebih inklusif.
Malaysia kini telah diiktiraf sebagai Negara Rakan BRICS, dan perkembangan ini membuka ruang kerjasama baharu. Pada masa yang sama, ia memperlihatkan betapa konflik kuasa besar boleh memberi kesan langsung kepada negara membangun, antaranya isu seperti keselamatan makanan dan kestabilan rantaian bekalan pertanian.
Fokus utama rencana ini merujuk kepada kenyataan Rusia mengenai kekangan untuk terus membekalkan baja dan bijirin kepada negara-negara Selatan Global susulan sekatan perdagangan berkait konflik Rusia-Ukraine. Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap keterjaminan makanan global dan ketahanan rantaian bekalan, terutamanya bagi negara-negara yang masih bergantung kepada import komoditi asas. Malaysia tidak terkecuali daripada kesan gangguan ini.
Kekangan eksport dari Rusia menonjolkan kerentanan sistem makanan global yang bergantung kepada beberapa pengeluar utama. Bagi Malaysia, gangguan bekalan berpotensi meningkatkan kos pertanian, menjejaskan pengeluaran makanan serta memberi tekanan kepada harga makanan domestik. Hal ini mengingatkan bahawa sekuriti makanan bukan sekadar isu pertanian, tetapi isu strategik yang berkait rapat dengan geopolitik, perdagangan dan daya tahan negara.
Kenyataan Rusia dalam mesyuarat BRICS 2025 wajar dilihat sebagai satu isyarat penting kepada negara-negara Selatan Global, iaitu dengan memahami secara asas bagaimana ketidaktentuan geopolitik dunia mampu memberi kesan langsung kepada kestabilan makanan dan ekonomi negara membangun. Justeru, pengukuhan dasar pertanian, kepelbagaian sumber bekalan serta kerjasama serantau menjadi langkah kritikal bagi memastikan keselamatan makanan dan ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Penulis: Penyelidik, Lubna Research Center.
(Untuk rujukan dan versi PDF boleh didapati disini):
Food Security, Agriculture, International Affairs
.jpg)