Kedudukan Malaysia Dalam Kerangka Semi-Periferi; Ekonomi dan Diplomasi
Author: Alif Fahmi Zahari
(Untuk memuat turun kertas penuh, versi PDF terdapat di bahagian bawah rencana ini)

Ringkasan Eksekutif
Artikel ini menilai kedudukan Malaysia dalam kerangka World-Systems Theory sebagai negara semi-periferi, iaitu berada di antara kuasa teras global dan negara pinggiran.
Malaysia memiliki ekonomi yang pelbagai dan kedudukan geopolitik strategik, namun masih bergantung kepada eksport komoditi, pelaburan asing serta teknologi luar. Kedudukan ini meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global, tetapi belum mencapai tahap sebagai pengaruh besar yang menentukan arah ekonomi dan teknologi dunia.
Dari sudut diplomasi, Malaysia mempunyai pengaruh serantau yang stabil melalui ASEAN, misi pengaman PBB dan peranan dalam isu kemanusiaan serta perubahan iklim.
Walau bagaimanapun, pengaruh ini masih bersifat issue-based dan belum berkembang menjadi kepemimpinan global yang konsisten. Dalam masa yang sama, cabaran seperti ekonomi dualistik, jurang kemahiran, brain drain dan perangkap pendapatan sederhana terus mengekang peralihan Malaysia ke tahap negara teras.
Perbandingan antara Jepun, Singapura dan Korea Selatan menunjukkan bahawa lonjakan kepada status core memerlukan pelaburan besar dalam inovasi, reformasi institusi, pembangunan modal insan serta diplomasi yang lebih proaktif.
Artikel ini menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk bergerak ke hadapan, namun masih memerlukan strategi jangka panjang yang berani dan menyeluruh bagi memperkukuhkan daya saing ekonomi, pengaruh global dan kepimpinan serantau.
Dalam dunia yang semakin kompetitif di samping ketidaktentuan geopolitik global, persoalannya bukanlah lagi semata-mata sama ada Malaysia mampu berada di tahap teras, tetapi sejauh manakah kesediaan negara untuk melaksanakan perubahan struktur yang diperlukan.
Penulis: Alif Fahmi Zahari (Penyelidik, LUBNA)
(Untuk rujukan dan versi PDF boleh didapati di sini):
Economics, International Affairs
.jpg)