Memahami Wacana Timur dan Barat Melalui Naratif Clarke - 'Oriental Enlightenment'
Author: Alif Fahmi
Buku Oriental Enlightenment karya J.J. Clarke memberikan satu pandangan yang mendalam dan seimbang tentang hubungan antara pemikiran Asia dan Barat. Dalam wacana akademik moden, ramai cenderung menekankan bagaimana Barat mendominasi Timur, terutamanya melalui penjajahan dan apa yang ditekankan oleh Edward Said dalam “orientalisme” sebagai pandangan berat sebelah dan stereotaip terhadap Timur.
Namun, Clarke membawa naratif yang lebih luas. Beliau menunjukkan bahawa walaupun unsur orientalisme wujud, terdapat juga satu bentuk keterbukaan dan penghargaan yang ikhlas daripada Barat terhadap falsafah dan cara berfikir masyarakat Timur.
Salah satu tema utama dalam buku ini ialah bagaimana para pemikir Barat sejak abad ke-18 hingga abad ke-20 telah mencari makna dan ilham dalam ajaran-ajaran Timur seperti Buddhisme, Taoisme dan Hinduisme.
Ketika Barat semakin maju dari segi sains dan teknologi, sebahagian masyarakatnya mula berasa kecewa dan terasing dalam dunia moden yang terlalu mekanikal dan materialistik. Dalam keadaan ini, ajaran dari Timur dilihat sebagai alternatif sebagai satu bentuk spiritual remedy (pencerahan rohani) yang menawarkan ketenangan melalui sumber alam dan tafakur.
Barat Mengagumi Timur dalam Konteks Kerohanian
Clarke membahagikan sejarah hubungan ini kepada beberapa fasa. Pada awalnya, Timur dijadikan sebagai sumber inspirasi secara terpisah, di mana pemikir Barat mengambil idea tertentu tanpa benar-benar memahami konteks asal.
Namun, memasuki abad ke-20, Clarke menunjukkan berlaku satu peralihan penting dari hanya “meminjam” kepada pelaksanaan dialog akademik antara pemikiran Timur dan Barat. Dialog ini berlaku apabila pemikir dari kedua-dua belah pihak berkongsi pengalaman dan membentuk pendekatan pemikiran yang lebih inklusif.
Salah satu konsep menarik yang diketengahkan oleh Clarke ialah “orientalisme afirmatif”. Berbeza daripada orientalisme yang difahami oleh Barat dengan stigma negatif yang menindas dan memanipulasi, orientalisme afirmatif merujuk kepada usaha jujur dan ikhlas pemikir Barat untuk menghargai kebijaksanaan Timur, bukan untuk menguasainya tetapi untuk belajar daripadanya.
Ini boleh dilihat dalam minat tokoh seperti Alan Watts, D.T. Suzuki dan Fritjof Capra terhadap konsep “Zen”, “kekosongan”, “keseimbangan”, dan “kesatuan” antara manusia dan alam. Bahkan dalam bidang sains kuantum dan ekologi moden, Clarke menunjukkan bahawa beberapa idea asasnya dipengaruhi oleh pandangan dunia Timur yang tidak bersifat dualistik dan lebih terbuka kepada ketidakpastian.
Selain itu, Clarke turut mengkritik kecenderungan sesetengah pihak di Barat yang mengambil ajaran Timur secara terpilih atau komersial. Beliau menyedari bahawa dalam sesetengah ajaran Buddha atau Yoga diadaptasi secara dangkal untuk tujuan gaya hidup semata-mata, tanpa kefahaman mendalam terhadap makna dan struktur asal ajaran tersebut.
Namun begitu, Clarke tetap optimis bahawa wujud ruang untuk interaksi yang lebih tulen dan saling memperkayakan antara Timur dan Barat jika hanya dilakukan dengan rasa hormat, kejujuran intelektual dan kesediaan untuk belajar.
Timur tanpa Timur Tengah
Dalam Oriental Enlightenment, J. J. Clarke memang memberikan satu naratif yang lebih nuansa tentang hubungan Timur dan Barat, namun penting juga untuk kita melihat kelemahan atau batasan dalam kerangka yang beliau gunakan, terutama dari sudut pemilihan fokus geografi dan tradisi intelektual yang diketengahkan.
Satu kritikan utama terhadap karya ini ialah kecenderungan Clarke untuk lebih memberi tumpuan kepada pemikiran Asia Timur dan Asia Selatan seperti Buddhisme, Taoisme dan Hinduisme yang secara relatifnya mengabaikan Timur Tengah dan tradisi Islam sebagai sebahagian daripada sumbangan intelektual Timur yang penting.
Clarke menyentuh dengan agak terhad atau hampir tidak langsung kepada falsafah Islam yang sebenarnya mempunyai sejarah panjang dalam bidang metafizik, epistemologi, etika, serta sains dan logik, terutama dalam zaman keemasan Islam yang mempengaruhi pemikir Eropah seperti Thomas Aquinas melalui tokoh Islam seperti Al-Farabi, Ibnu Sina dan Al-Ghazali.
Dalam konteks ini, pendekatan Clarke boleh dilihat sebagai agak selektif kerana membentuk satu versi “Timur” yang lebih sesuai dengan selera spiritual atau keinginan eksistensial Barat moden, berbanding satu representasi Timur yang lebih menyeluruh dan kompleks.
Ketiadaan atau kekurangan analisis terhadap warisan Islam dalam naratif ini menimbulkan persoalan tentang siapa yang dianggap mewakili Timur. Apakah Timur itu hanya India dan China? Apakah ajaran Zen atau Yoga lebih “boleh diterima” oleh Barat kerana sifatnya yang tidak menuntut akidah tertentu, berbanding tradisi Islam yang lebih berstruktur dan bersifat keagamaan?
Lebih membimbangkan, ini juga mengabaikan peranan besar Timur Tengah sebagai pusat dialog falsafah, matematik, dan sains sejak abad ke-8 hingga ke-13, yang menjadi jambatan penting dalam pertukaran ilmu antara Timur dan Barat. Tanpa memasukkan dimensi ini, naratif “keterbukaan Barat terhadap Timur” yang dibawa oleh Clarke menjadi agak berat sebelah dan terhad kepada dimensi spiritual kontemporari sahaja.
Intellectual Discourse
.jpg)