top of page

Nilai Multidimensi Air; Dari Utiliti Asas Kepada Modal Ekonomi Digital (Pusat Data)

Researcher: Sofiya Tamizi

Jun, 2026


(Untuk memuat turun kertas penuh, versi PDF terdapat di bahagian bawah)


© Lubna Research Center
© Lubna Research Center

Ringkasan Eksekutif


Air sering dianggap sebagai sumber yang mudah diperoleh dan sentiasa tersedia. Namun, di sebalik persepsi tersebut, air sebenarnya mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar kegunaan domestik harian. Kertas ini meneliti air sebagai aset multidimensi yang meliputi dimensi ekonomi, sosial, ekologi, budaya dan politik.


Dalam konteks Malaysia, perbincangan ini menyingkap jurang yang masih wujud antara limpahan sumber air yang dimiliki negara, dengan tahap pengurusan dan penghargaan terhadap sumber air.


Walaupun Malaysia mencatatkan purata taburan hujan tahunan tertinggi di Asia Tenggara iaitu sekitar 2,875 mm, kekayaan limpahan hujan semata-mata tidak dapat menjamin keselamatan air negara. Penggunaan air domestik per kapita di Malaysia masih mencecah 226 hingga 228 liter sehari, iaitu melampaui sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 165 liter, malahan masih jauh daripada sasaran kerajaan Malaysia sendiri iaitu 180 liter menjelang 2030.


Paradoks ini antaranya lebih ketara apabila dibandingkan dengan Singapura yang mempunyai sumber air yang terhad, mencatatkan penggunaan per kapita terendah di rantau ini, disertai tarif air tertinggi dan dasar pengurusan air yang ketat. Perbezaan ini menunjukkan bagaimana sesebuah negara mengiktiraf dan mentadbir nilai air dalam konteks dasar awamnya.


Salah satu perbincangan utama kertas ini menyentuh jurang yang ketara antara sektor air dan sektor tenaga dalam landskap dasar di Malaysia. Menerusi perbandingan antara Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan pelaburan RM1.2 trilion menjelang 2050 berbanding Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) yang mensasarkan RM13.3 bilion menjelang 2040, sektor tenaga dilihat lebih mendahului sektor air bukan sahaja dari segi nilai pelaburan, malah turut mendominasi wacana awam, liputan media, dan perhatian umum secara lebih meluas.


Hakikatnya, kedua-dua sektor ini tidak boleh dipisahkan kerana air diperlukan untuk menjana tenaga, dan tenaga juga diperlukan untuk menggerakkan dan serta mengagihkan air, misalnya bagi tujuan domestik dan industri. Jika kedua-dua sektor ini diuruskan secara terpisah, Malaysia berisiko mengabaikan asas ekologi yang menyokong keselamatan tenaganya sendiri. Invisible water footprint ekonomi digital juga merupakan komponen kritikal yang perlu diintegrasikan dalam sektor air negara.


Kertas penyelidikan ini menyentuh mengenai pelbagai dimensi air dalam kerangka pembangunan negara, termasuk struktur tarif air di Malaysia, penggunaan air per kapita, hubungan antara sektor air dan tenaga, bagaimana pertimbangan politik mempengaruhi sistem tarif, serta implikasi pertumbuhan pusat data dan ekonomi digital terhadap sumber air negara.


Penulis: Sofiya Tamizi (Penyelidik, LUBNA)


Penasihat:

Dr. Azmi Aris; Ahli Penasihat LUBNA, Felo Penyelidik Luar di Centre for Environmental Sustainability and Water Security (IPASA), dan mantan Pengarah di Research Institute for Sustainable Environment (RISE), Universiti Teknologi Malaysia.




(Versi penuh PDF boleh didapati di sini):




Environmental, Water Policy

LUBNA RESEARCH CENTER

(003594486-M)

FIND US ON:

  • Instagram
  • X
  • Facebook
  • LinkedIn
  • Threads
  • WhatsApp

CONTACT US:

Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia

+6019 9050 391

Subscribe to Our Newsletter

Thank you for subscribing!

© 2026. ALL RIGHTS RESERVED. LUBNA RESEARCH CENTER | MALAYSIA

bottom of page